Wednesday 31 December 2014

Lobak, Telur & Milo

Bismillah.
Tazkirah ini diambil dari seorang akh ketika liqa mathurat petang saya dan sahabat-sahabat yang lain pada 31/12/2014.
Akh ini share sebuah kisah yang 'simple', tapi bermakna.
..............

Kisah bermula dengan ada seorang kanak-kanak ini, dia merajuk kerana ada satu masalah yang menimpanya. Ayahnya yang melihat keadaaan anaknya itu pun cuba untuk memujuk. Tetapi sifat kanak-kanak yang biasa kita kenal, mesti akan melawan (biasanya untuk mendapat perhatian). Lalu si ayah pun terfikir satu cara dengan memberi analogi berkaitan "Lobak, telur dan milo"

Si ayah pun mula menceritakan kepada anaknya.

"Lobak jika direndam ke dalam air panas, ia akan menjadi lembik.
Telur pula jika direndam ke dalam air panas akan menjadi keras.
Milo pula jika direndam ke dalam air panas akan menjadi cair, dan sedap di minum.
emmmm..." sambil tangan si ayah mengusap-usap lehernya.

Si anak pun menjadi pelik "Habis itu, apa kaitan cerita ini dengan saya?"

Ayahnya tersenyum, jelas kelihatan anaknya seperti ingin tahu.

"Lobak jika direndam ke dalam air panas, ia akan menjadi lembik. Adakah kita bila ditimpa masalah atau musibah perlu menjadi "lembik"? walhal kita mesti menjadi lebih kuat.

Telur pula jika direndam ke dalam air panas akan menjadi keras. Kita apabila ditimpa masalah atau musibah jangan terlalu berkeras, sehingga nasihat dan pandangan orang lain tidak diterima malah memberontak dek kerana anguh dan keras kepala.

Milo pula jika direndam ke dalam air panas akan menjadi cair, dan memberi 'benefit' kepada yang lain pula. Kita perlu larut dengan setiap masalah yang dihadapi, jangan terlalu mengikut perasaan. Malah kita cuba berikan yang terbaik dalam menyelesaikannya dan memberi manfaat juga kepada yang lain.

Anak ini pun mula faham, lalu kembali ceria. Si ayah pun berasa lega.
Mereka terus membuat air panas, dan membancuh milo bersama-sama.


p/s: Akh ini bukan mempromote Milo atau mana-mana produk makanan, sekadar analogi.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Teringat saya bagaimana diawal perjalanan dakwah baginda Rasulullah SAW, baginda menepuh pelbagai mehnah dan halangan dalam menegakkan kalimah Allah. Tetapi baginda tabah dan sabar dalam menempuh setiap ujian demi ujian bahkan baginda tetap terus menyampaikan Islam yang merupakan Islam itu sebagai penyelamat dalam kehidupan.



Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermusyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

(Surah ali-Imran : ayat 159)

Tuesday 30 December 2014

La Takhaf Wa la Tahzan, Innallaha Ma’ana

La Takhaf wa la tahzan Innallaha ma’ana
"Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah ada bersama kita"


Di penghujung 2014 kita digemparkan dengan satu musibah yang pastinya ramai beranggapan yang terburuk dan terbesar. Musibah yang dimaksudkan adalah banjir yang berlaku di pantai timur Malaysia. Daripada musibah ini jugalah terpancar pelbagai 1001 hikmah yang boleh dipelajari.








Bagi mereka yang beriman, sudah tentu akan bersabar dan meletakkan pergantungan mereka kepada Allah SWT disamping usaha kecil yang dilakukan. Bagi mereka yang selebihnya, sibuk mencari kesalahan lawan, ya inilah masa yang terbaik untuk menjatuhkan pihak lawan dengan mengeluarkan pelbagai “statement” yang boleh memecahbelahkan pelbagai pihak. Ada segelintir pula, yang menggunakan kesempatan ini untuk kepentingan peribadi, dikala insan lain berada dalam keperitan mereka ini pula keluar bersama agenda-agenda sendiri.

Itulah manusia.

Bagi kita yang yakin dengan limpah rahmat dan kasih sayang Allah ta'ala, perlu sedar bahwa ini semua telah ditakdirkan untuk kita, sebagai satu nasihat kepada apa yang telah kita lakukan. Nasihat Allah ini bukan untuk saling menunding jari mencari siapa salah, tetapi untuk sama-sama bermuhasabah.

Allah itu maha adil, nikmat dan rahmat Allah ta’ala hanya untuk orang-orang yang berpegang dengan ayat-ayat-Nya sahaja. Dan bala Allah juga bukan untuk mereka yang melakukan kemungkaran sahaja, bahkan kepada mereka yang hanya duduk diam melihat kemungkaran berlaku di depan mata.




“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” ( At-Thalaq 65: 2-3 )