Tuesday 30 December 2014

La Takhaf Wa la Tahzan, Innallaha Ma’ana

La Takhaf wa la tahzan Innallaha ma’ana
"Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah ada bersama kita"


Di penghujung 2014 kita digemparkan dengan satu musibah yang pastinya ramai beranggapan yang terburuk dan terbesar. Musibah yang dimaksudkan adalah banjir yang berlaku di pantai timur Malaysia. Daripada musibah ini jugalah terpancar pelbagai 1001 hikmah yang boleh dipelajari.








Bagi mereka yang beriman, sudah tentu akan bersabar dan meletakkan pergantungan mereka kepada Allah SWT disamping usaha kecil yang dilakukan. Bagi mereka yang selebihnya, sibuk mencari kesalahan lawan, ya inilah masa yang terbaik untuk menjatuhkan pihak lawan dengan mengeluarkan pelbagai “statement” yang boleh memecahbelahkan pelbagai pihak. Ada segelintir pula, yang menggunakan kesempatan ini untuk kepentingan peribadi, dikala insan lain berada dalam keperitan mereka ini pula keluar bersama agenda-agenda sendiri.

Itulah manusia.

Bagi kita yang yakin dengan limpah rahmat dan kasih sayang Allah ta'ala, perlu sedar bahwa ini semua telah ditakdirkan untuk kita, sebagai satu nasihat kepada apa yang telah kita lakukan. Nasihat Allah ini bukan untuk saling menunding jari mencari siapa salah, tetapi untuk sama-sama bermuhasabah.

Allah itu maha adil, nikmat dan rahmat Allah ta’ala hanya untuk orang-orang yang berpegang dengan ayat-ayat-Nya sahaja. Dan bala Allah juga bukan untuk mereka yang melakukan kemungkaran sahaja, bahkan kepada mereka yang hanya duduk diam melihat kemungkaran berlaku di depan mata.




“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” ( At-Thalaq 65: 2-3 )