Monday, 4 May 2015

Ratib Munafiq Siri-1


Huraian Surah al-Baqarah: 08-20


Menerusi ayat-ayat ini Allah membongkar akan sifat & perangai golongan yang berpura-pura menzahirkan keperibadian mereka sebagai seorang Muslim padahal hati-hati mereka penuh dengan dendam & kebencian kepada risalah Islam. Mereka ini diistilahkan dengan bahasa al-Quran sebagai golongan Munafiqun. Jika diamati kandungan di dalam al-Quran, penceritaan tentang golongan Munafiqun hanya wujud di dlm ayat surah-surah Madaniyyah termasuklah surah al-Baqarah. Jelas di sini Allah menunjukkan kpd kaum Muslimun bahawa tatkala Islam sudah mempunyai kekuasaan & dilihat berpotensi utk terus menang maka mrk akan berdepan dgn lebih ramai musuh yang akan menyekat gerakan Islam, termasuklah musuh yg berada dlm kalangan mereka sendiri.
Pada ayat yang ke-8, Allah membongkar perbuatan segelintir manusia yang hanya menutur di bibir-bibir mereka bahawa diri mereka sebagai orang beriman kepada Allah & Hari Akhirat padahal dakwaan yg mereka laungkan tidak lebih hanyalah suatu kepalsuan. Ini kerana di dlm hati-hati mereka sudah dipenuhi dengan penyakit-penyakit yang menjadikan mereka ragu terhadap urusan agama bahkan mereka berbangga dengan kebodohan mereka. Allah membiarkan hati-hati mereka terus berpenyakit atas kesombongan mereka sebagaimana yang dinyatakan di dlm surah al-Munafiqun:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا يَسْتَغْفِرْ لَكُمْ رَسُولُ اللَّهِ لَوَّوْا رُءُوسَهُمْ وَرَأَيْتَهُمْ يَصُدُّونَ وَهُمْ مُسْتَكْبِرُونَ
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu", mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepala mereka dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh".
[Surat Al-Munafiqoon 5]


Umpama seorang pesakit yang sudah zahir penyakitnya tetapi masih enggan mendapatkan penawar. Inilah dia sikap golongan Munafiqun & kesombongan mereka terhadap Allah & Rasul. Mereka terus menerus berada di dalam kesesatan akibat keengganan mereka untuk menyesali perbuatan mereka sedangkan hal yg dimaklumi, menjadi syarat diterimanya taubat seorang hamba ialah wajib ke atas mereka mengakui & menyesali akan kesilapan mereka.

Ayat yang ke-9 juga menjadi suatu kunci yg penting dalam kita memahami kerosakan berterusan yang menimpa ke atas peribadi golongan Munafiqun. Sehinggakan apabila ditegur perbuatan mereka yang melakukan kerosakan di dlaam agama, tanpa segan silu mereka mengatakan merekalah yg sebenarnya yg melakukan kebaikan, sebagaimana firman Allah di dalam ayat yang ke 11 & 12.

Di dalam ayat ke-13 & 14, Allah menjelaskan strategi licik golongan Munafiqun dlm melemahkan keyakinan umat Islam terhadap syariat Allah. Hasrat hati mereka jelas ingin menghina acuan Allah, Islam, dan melemahkan keyakinan umat Islam terhadap Islam dengan menghina golongan yg beriman sebegai orang-orang yang bodoh. Hari ini tidak sedikit mereka yang cuba menafikan syariat Allah dgn cara memberi label kepada para ulama dan mereka yg berautoriti dlm mensyarah urusan agama sebagai golongan yang jumud, tradisionalis, konservatif & ketinggalan zaman dgn harapan masyarakat akan menjauhi golongan agamawan. Secara tidak langsung, masyarakat akan semakin jauh daripada syariatullah yang sepatutnya memacu kehidupan manusia. Ini dia amalan jahliyyah yang sudah pun berlaku ketika zaman Rasulullah yang kini kembali dikitar semula.

Golongan Munafiqun terus menerus mempermainkan perasaan orang Mukmin dgn dakwaan palsu mereka. Tatkala mereka bersama dgn kaum Muslimun, mereka mengatakan, "Ya, kami beriman" namun apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan & pemimpin-pemimpin taghut mereka, mereka mengatakan, "Kami bersama kamu wahai syaitan, kami hanyalah berpura-pura dihadapan golongan Mukmin". Pengakuan palsu yang dilafazkan mereka di hadapan  kaum Muslimun hanya ingin dijadikan sebagai sumpah yang menyelamatakan mereka daripada serangan kaum Muslimun & melindungi perbuatan jahat mereka daripada diketahui. Allah membocorkan kelakuan licik mereka ini menerusi firmanNya:

اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
"Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan".
[Surat Al-Munafiqoon 2]


Kebiadaban ini jelas disebutkan oleh Allah di dalam ayat yang ke-14 lantas Allah menempelak kejahatan mereka di dalam ayat yang ke-15 bahawa Allah lah yang akan mempermain-mainkan mereka di akhirat kelak dengan menghidangkan air yang mendidih (Hamim) bagi menghilangkan rasa dahaga mereka! Allah lah yang akan menyediakan pohon zaqqum sebagai makanan yang menghilangkan kelaparan mereka! Firman Allah taala:

ثُمَّ إِنَّكُمْ أَيُّهَا الضَّالُّونَ الْمُكَذِّبُونَ (51) لَآكِلُونَ مِنْ شَجَرٍ مِنْ زَقُّومٍ (52) فَمَالِئُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ (53) فَشَارِبُونَ عَلَيْهِ مِنَ الْحَمِيمِ (54) فَشَارِبُونَ شُرْبَ الْهِيمِ (55) هَٰذَا نُزُلُهُمْ يَوْمَ الدِّينِ (56)
"Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat). Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum. Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu. Selepas itu kamu akan meminum dari air panas yang menggelegak. Kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas. Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu".
[Surah al-Waqiah: 51-56]


Kerana keangkuhan & kebodohan mereka yang sanggup menjalankan urus niaga yg sangat merugikan dengan membeli kesesatan dengan petunjuk hidayah Allah. Allah meneruskan firmanNya dalam menceritakan keperibadian golongan Munafiqun yang menjadi musuh di dalam gerakan Islam di dalam ayat yang ke-17 & 18 dengan membawa perumpamaan seorang yang dinyalakan api dengan api itu membekalkan cahaya yang menerangi haba yang memanaskan & asap yang melemaskan. Lantas dihilangkan cahaya yang menerangi itu & tinggallah dia bersama haba yang panas & asap yang melemaskan. Kehidupan mereka akan terus di dalam kegelisahan, terkapai-kapai di dalam kegelapan zulumat & mereka tidak lagi melihat cahaya kebenaran.
Sekali lagi Allah membawa suatu bandingan kepada golongan Munafiqun menerusi ayat ke-19 yakni umpama orang-orang yang ditimpa hujan yang lebat berserta guruh & kilat. Para mufassirin menyebutkan bahawa hujan lebat yang mencurah daripada langit itu ialah perumpamaan buat Kalamullah, al-Quran yang disampaikan menerusi lisan Baginda Nabi yang padanya petunjuk & manfaat yang banyak buat umat manusia manakala guruh & kilat ialah sambaran & teguran kepada kejahatan & kemunafiqan mereka. Ketika mana sampai kepada mereka teguran & ancaman daripada Allah terhadap perbuatan mereka, golongan Munafiqun dengan sombongnya menutup telinga-telinga mereka enggan menerima ayat-ayat Allah seolah-olah orang yang takut kepada kematian, sedang mereka selama-lamanya tidak akan pernah mampu untuk lari daripada Allah yang Maha Meliputi segala sesuatu.

Ayat yang ke-20, Allah menjelaskan kepada kita sifat golongan Munafiqun ini hati mereka hanya akan tersentuh seketika ketika datangnya sambaran kilat padahal dalam kebanyakan masa meraka tetap berpura-pura, tetap berdiri di dalam kegelapan zulumat.

AKZ,
15 Rejab 1436.