Thursday 12 November 2015

Ratib Munafiq Siri-3

Surah at-Taubah: 73-80


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ ۚ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ 

يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ مَا قَالُوا وَلَقَدْ قَالُوا كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُوا بَعْدَ إِسْلَامِهِمْ وَهَمُّوا بِمَا لَمْ يَنَالُوا ۚ وَمَا نَقَمُوا إِلَّا أَنْ أَغْنَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْ فَضْلِهِ ۚ فَإِنْ يَتُوبُوا يَكُ خَيْرًا لَهُمْ ۖ وَإِنْ يَتَوَلَّوْا يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَمَا لَهُمْ فِي الْأَرْضِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ 

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ  

فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ 

فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَىٰ يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ 

أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُمْ وَأَنَّ اللَّهَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ

الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ ۙ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ


Ayat 73:
Allah menceritakan perihal perangai manusia² yang menentang perjuangan Islam, Allah dan RasulNya serta anjuran Allah kepada RasulNya (dan umat Islam) agar bersikap keras kepada golongan Kuffar (dengan mengangkat senjata) dan Munafiqun (dengan berdebat dan berhujjah) kerana mereka ialah ahli Jahannam!

Ayat 74:
Ayat ini diturunkan bagi membongkar sumpah palsu yg dilafazkan oleh golongan Munafiqun tatkala menafikan perancangan sulit mereka untuk menyingkirkan Rasulullah selaku pemimpin tertinggi umat Islam ketika itu (dengan berhasrat untuk membunuh Rasulullah). Sedangkan Allah Maha Mengetahui bahawa mereka telah mengadakan satu pakatan jahat semasa perjalanan pulang daripada Tabuk. Mereka berhasrat terhadap suatu yang pasti akan gagal (kerana Allah memelihara kekasihNya). Kemudiannya, Allah menzahirkan isi hati mereka dengan menjelaskan pengkhianatan yang berlaku ini disebabkan kekecewaan mereka akibat tidak menerima kelebihan di sisi Baginda dan harta ghanimah.

...وَمَا نَقَمُوا إِلَّا أَنْ أَغْنَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْ فَضْلِه...

"Dan tidaklah mereka mencela Islam (Allah dan RasulNya) melainkan (sekiranya) Allah dan RasulNya melimpahkan kurniaNya (kepada mereka)"

Sekiranya mereka mengakui kesalahan mereka (dengan bertaubat), maka nescaya Allah menerima akan taubat mereka. Namun sekiranya mereka berpaling, azab yang pedih buat mereka, dunia dan akhirat. Bahkan janji Allah! Tiada pembantu dan pertolongan buat mereka di dunia ini (apatah lagi di akhirat kelak). Justeru, mereka golongan yang lemah, pasti akan ditewaskan.

Ayat 75-76:
Satu lagi janji manis Munafiqun. Bagi mereka, mereka hanya akan menjalankan arahan-arahan dan perintah agama sekiranya dikurniakan kelebihan dunia. Hanya berjanji untuk melaksanakan agama ketika adanya dunia di sisi mereka. Sedang sifat seorang Mukmin itu, menjalankan peraturan agama walau dalam apa jua keadaan. Agama tidak boleh dijadikan suatu perkara yg untuk mendapatkan ia, mesti adanya dunia. Menjadikan dunia sebagai syarat kepada urusan agama. Sekiranya begitulah tafsirannya, pasti agama akan menjadi harta yang sangat hina kepada dunia.

Padahal sekiranya Allah mengurniakan dunia kepada mereka, tetap juga mereka kekal menjadi manusia-manusia hina yang bakhil, berpaling daripada perjuangan agama dan mereka lari daripada bersama Islam.

Ayat 77-78:
Di atas kemungkaran dan janji terhadap Allah yang mereka mungkiri, dicampakkan ke dalam hati mereka sifat nifaq yang kekal hingga ke hari akhirat, yakni hari pertemuan mereka dengan Allah taala. Maka rasakan 'hadiah' buat para pendusta!

Sungguh, Allah Maha Mengatahui akan segala sesuatu, baik bisikan jahat dan rancangan sulit mereka, juga akan sekian hal-hal yang ghaib.

Ayat 79:
Sifat seterusnya yang wujud dalam diri golongan Munafiqun ini, mereka akan sentiasa mencela segala usaha yang dijalankan oleh golongan Mukmin. Kepada mereka yang menyumbang dengan sumbangan yang banyak, mereka mencela dengan mempertikai isi hati orang-orang yang menyumbang seolah-olah isi hati ini menjadi urusan yang diketahui mereka. Sebaliknya, sekiranya usaha yang dijalankan hanya membawa pulangan yang sedikit (kerana kekangan & halangan) sebagaimana firman Allah:

...وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ...

"Dan mereka (mencela) golongan-golongan yang hanya mampu memberi sumbangan yang sedikit. Maka mereka menghina orang-orang (yang memberi sedikit sumbangan ini)..."

Tetap juga mereka akan lemparkan kata-kata penghinaan terhadap orang Mukmin.

Ayat 80:
Dek kerana kekufuran dan sifat nifaq mereka ini, sama sahaja sama ada kamu bermaafan & meminta ampun buat mereka atau kamu berpaling daripada mereka. Golongan Munafiq ini makhluk yang hina, buta hatinya, tidak akan pernah mengerti lagi (akan urusan agama). Mereka telah kufur kepada Allah & RasulNya, tiada kurnia hidayah buat mereka.