Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Thursday, 12 November 2015

Ratib Munafiq Siri-3

Surah at-Taubah: 73-80


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ ۚ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ 

يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ مَا قَالُوا وَلَقَدْ قَالُوا كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُوا بَعْدَ إِسْلَامِهِمْ وَهَمُّوا بِمَا لَمْ يَنَالُوا ۚ وَمَا نَقَمُوا إِلَّا أَنْ أَغْنَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْ فَضْلِهِ ۚ فَإِنْ يَتُوبُوا يَكُ خَيْرًا لَهُمْ ۖ وَإِنْ يَتَوَلَّوْا يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَمَا لَهُمْ فِي الْأَرْضِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ 

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ  

فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ 

فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَىٰ يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ 

أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُمْ وَأَنَّ اللَّهَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ

الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ ۙ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ


Ayat 73:
Allah menceritakan perihal perangai manusia² yang menentang perjuangan Islam, Allah dan RasulNya serta anjuran Allah kepada RasulNya (dan umat Islam) agar bersikap keras kepada golongan Kuffar (dengan mengangkat senjata) dan Munafiqun (dengan berdebat dan berhujjah) kerana mereka ialah ahli Jahannam!

Ayat 74:
Ayat ini diturunkan bagi membongkar sumpah palsu yg dilafazkan oleh golongan Munafiqun tatkala menafikan perancangan sulit mereka untuk menyingkirkan Rasulullah selaku pemimpin tertinggi umat Islam ketika itu (dengan berhasrat untuk membunuh Rasulullah). Sedangkan Allah Maha Mengetahui bahawa mereka telah mengadakan satu pakatan jahat semasa perjalanan pulang daripada Tabuk. Mereka berhasrat terhadap suatu yang pasti akan gagal (kerana Allah memelihara kekasihNya). Kemudiannya, Allah menzahirkan isi hati mereka dengan menjelaskan pengkhianatan yang berlaku ini disebabkan kekecewaan mereka akibat tidak menerima kelebihan di sisi Baginda dan harta ghanimah.

...وَمَا نَقَمُوا إِلَّا أَنْ أَغْنَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْ فَضْلِه...

"Dan tidaklah mereka mencela Islam (Allah dan RasulNya) melainkan (sekiranya) Allah dan RasulNya melimpahkan kurniaNya (kepada mereka)"

Sekiranya mereka mengakui kesalahan mereka (dengan bertaubat), maka nescaya Allah menerima akan taubat mereka. Namun sekiranya mereka berpaling, azab yang pedih buat mereka, dunia dan akhirat. Bahkan janji Allah! Tiada pembantu dan pertolongan buat mereka di dunia ini (apatah lagi di akhirat kelak). Justeru, mereka golongan yang lemah, pasti akan ditewaskan.

Ayat 75-76:
Satu lagi janji manis Munafiqun. Bagi mereka, mereka hanya akan menjalankan arahan-arahan dan perintah agama sekiranya dikurniakan kelebihan dunia. Hanya berjanji untuk melaksanakan agama ketika adanya dunia di sisi mereka. Sedang sifat seorang Mukmin itu, menjalankan peraturan agama walau dalam apa jua keadaan. Agama tidak boleh dijadikan suatu perkara yg untuk mendapatkan ia, mesti adanya dunia. Menjadikan dunia sebagai syarat kepada urusan agama. Sekiranya begitulah tafsirannya, pasti agama akan menjadi harta yang sangat hina kepada dunia.

Padahal sekiranya Allah mengurniakan dunia kepada mereka, tetap juga mereka kekal menjadi manusia-manusia hina yang bakhil, berpaling daripada perjuangan agama dan mereka lari daripada bersama Islam.

Ayat 77-78:
Di atas kemungkaran dan janji terhadap Allah yang mereka mungkiri, dicampakkan ke dalam hati mereka sifat nifaq yang kekal hingga ke hari akhirat, yakni hari pertemuan mereka dengan Allah taala. Maka rasakan 'hadiah' buat para pendusta!

Sungguh, Allah Maha Mengatahui akan segala sesuatu, baik bisikan jahat dan rancangan sulit mereka, juga akan sekian hal-hal yang ghaib.

Ayat 79:
Sifat seterusnya yang wujud dalam diri golongan Munafiqun ini, mereka akan sentiasa mencela segala usaha yang dijalankan oleh golongan Mukmin. Kepada mereka yang menyumbang dengan sumbangan yang banyak, mereka mencela dengan mempertikai isi hati orang-orang yang menyumbang seolah-olah isi hati ini menjadi urusan yang diketahui mereka. Sebaliknya, sekiranya usaha yang dijalankan hanya membawa pulangan yang sedikit (kerana kekangan & halangan) sebagaimana firman Allah:

...وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ...

"Dan mereka (mencela) golongan-golongan yang hanya mampu memberi sumbangan yang sedikit. Maka mereka menghina orang-orang (yang memberi sedikit sumbangan ini)..."

Tetap juga mereka akan lemparkan kata-kata penghinaan terhadap orang Mukmin.

Ayat 80:
Dek kerana kekufuran dan sifat nifaq mereka ini, sama sahaja sama ada kamu bermaafan & meminta ampun buat mereka atau kamu berpaling daripada mereka. Golongan Munafiq ini makhluk yang hina, buta hatinya, tidak akan pernah mengerti lagi (akan urusan agama). Mereka telah kufur kepada Allah & RasulNya, tiada kurnia hidayah buat mereka.

Wednesday, 12 August 2015

Ratib Munafiq Siri-2






وَدَّتْ طَائِفَةٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ (69)
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَأَنْتُمْ تَشْهَدُونَ (70)
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ (71)
وَقَالَتْ طَائِفَةٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمِنُوا بِالَّذِي أُنْزِلَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ وَاكْفُرُوا آخِرَهُ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعوَن (72)
وَلَا تُؤْمِنُوا إِلَّا لِمَنْ تَبِعَ دِينَكُمْ قُلْ إِنَّ الْهُدَىٰ هُدَى اللَّهِ أَنْ يُؤْتَىٰ أَحَدٌ مِثْلَ مَا أُوتِيتُمْ أَوْ يُحَاجُّوكُمْ عِنْدَ رَبِّكُمْ ۗ قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (73)
بِرَحْمَتِهِ مَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ (74)

Huraian Surah Ali-Imran: 69-74 

     (69) Drp ayat ini, diajar kepada kita tidak boleh hanya melihat mereka golongan Munafiqun & ahlul kitab sebagai golongan yang sesat sahaja tetapi diingatkan Allah bahawa mereka tidak cukup menjadi manusia-manusia yang sesat, bahkan mereka menginginkan seluruh kaum Muslimun turut sama sesat seperti mereka. Bermula daripada penyelewengan budaya, gaya fikir, pertuturan, sehinggalah rosaknya aqidah dan robohnya agama. Firman Allah:

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)...” [Surah al-Baqarah:120]

    Mereka menyangka mereka yang akan mampu menyesatkan kaum Muslimun padahal merekalah sebenarnya yang semakin tersesat. Berkata para ulama, melalui penafian terhadap penyesatan golongan ahlul kitab dan Munafiq daripada Allah dalam ayat ini menandakan mustahil orang yang beriman akan berjaya disesat dan dikelirukan melainkan mereka yang lemah imannya, yang Islam mereka hanyalah warisan ibu dan bapa.

     (70) Jelas sudah kebenaran dan keadilan Islam. Sudah sampai kepada mereka pengetahuan yang sebenar tentang kehebatan Islam. Tidaklah lagi wujud alasan walau apapun untuk menafikan kebaikan kebenaran Islam yang sudah terbentang luas melainkan kerana masih tersimpan rasa hasad & dendam kesumat yg bersulamkan kesombongan di dalam diri mereka. Firman Allah:

وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ

“Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w)....” [Surah al-Baqarah: 109]

     (71-72) Sekali lagi di dalam ayat ini Allah membongkar rahsia mereka yang berpura pura dalam mengamalkan ajaran agama. Zahirnya mereka kelihatan sebagai orang yang tekun dalam menjalankan perintah agama padahal apabila mereka jauh daripada kaum Muslimun, mereka kembali menuruti hawa nafsu dan kejahilan mereka. Golongan Munafiqun sengaja memperlihatkan kepada khalayak manusia bahawa merekalah orang yang beramal dan menginginkan kebaikan kepada agama supaya manusia menaruh kepercayaan terhadap mereka lantas membuka peluang dan jalan kepada mereka untuk bercakap tentang kejelikan dan keburukan Islam tatkala mereka sudah mempunyai pengaruh. Strategi memburukkan Islam dengan memakai baju berjenama Islam, istilah Islam, gelaran dan pangkat kebesaran Islam jauh lebih berbahaya, licik dan mudah memperdaya berbanding mereka yang menghina Islam dengan memakai baju berjenama lain.

    Zaman ini muncul kelompok-kelompok yang berdiskusi tentang Islam atas nama liberal, plural dan pelbagai lagi. Mereka berbincang tentang hal keimanan, akidah, ketamadunan, alam ghaib, perubahan dan disiplin-disiplin fiqh, dalam diam mereka berlaku khianat dan dusta kepada prinsip Islam dengan mengagungkan kebolehan akal manusia semata. Segala-galanya ditafsir mengikut selera akal dan semahunya sehingga hancur rosaknya agama.

    (73) Di dalam ayat ini, Allah menggambarkan kesombongan ahlul kitab dan Munafiqun yang menghasut manusia supaya jangan menerima segala kata-kata orang yang selain daripada kaum dan kumpulan mereka (Yahudi) dengan alasan kamu akan disesat dan dipengaruh. Sikap mewujudkan dikotomi berdasarkan ras, warisan dan profesion terhadap keilmuan dan kefaqihan dalam urusan agama sering dimainkan oleh orang Munafiq supaya Islam dilihat sempit dan jumud persis sistem kasta yang membodohkan manusia suatu ketika dahulu. Lantas ditempelak oleh Allah dengan mengatakan “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar ialah petunjuk Allah!”, bukan petunjuk manusia. Limpah kurnia Allah diberikan kepada mereka yang dikehendakiNya kerana Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui meliputi dan menaungi seluruh hambaNya dan ciptaanNya.

    (74) Allah menutup perbicaraan ini dengan sekali lagi ditegaskan bahawa rahmat dan kurniaanNya dikhususkan buat mereka yang dikehendakiNya, mereka yang menyempurnakan tuntutan dan jalan-jalannya. Selagi manusia berpegang dengan tali Allah, bersama di dalam acuan dan manhaj Allah, mereka akan selamat daripada tipu daya mereka yang memusuhi Islam. Baik musuh luaran mahupun musuh di dalam jamaah.

    Ketahuilah wahai kaum Muslimun, sungguh mereka golongan Munafiqun dan musuh-musuh Allah tidak pernah berasa puas dengan kehancuran akhlak mereka, tidak pernah berasa cukup dengan kesesatan mereka dan mereka tidak akan pernah diam daripada berusaha untuk mengheret kita ke lembah kehancuran bukan sahaja dalam urusan keimanan bahkan dalam urusan kemasyarakatan. Fahzarhum! (maka waspadalah terhadap mereka)

Catatan 11 May 2015

Sunday, 26 April 2015

Ikhlaskan hati dalam memuji Tuhanmu


Pernahkah kita memuji seseorang? tidak kisah samada sahabat, keluarga, atau sesiapa pun dengan ikhlas? Biasa kalau kita memuji seseorang (dengan ikhlas) pasti akan disertakan dengan perasaan gembira, teruja, pendek cerita pujian itu hadir dari hati yang sukar digambar. Pujian dengan wajah yang berbunga-bunga.

"Eh kau ni bijak la Man, untung kalau jadi macam kau. Dean list kot"

"Tahniah dik!!! kalau mak abah tahu pasti bangga ni. Hebat betul kau ni."

"Abang baru balik internship dari UK eh? wahhh...hebat!!! hebat la abang ni, saya nak intern macam abanglah nanti."

"Terima kasih la...susah ja belanja akak ni…awak dah la pandai, bergaji besar, baik pulak tu."


Pujian bertubi-tubi yang ikhlas dengan susunan ayat yang pasti menenangkan hati si pendengar, malah yang memuji juga pasti dalam keadaan yang teramat suka dan teruja sekali. Pujian ikhlas biasanya terjadi tanpa dirancang.

Pernahkah ia terjadi kepada kita?
Pasti kebanyakannya pernah!
.


.
Kenapa tidak pujian sebegini kita berikan kepada Allah SWT?
Bertasbih adalah salah satu cara untuk kita memuji kebesaran Illahi. Bertasbihlah dari hati yang ikhlas.

"Subhanallah - Maha suci Allah"
Subhanallah Wa Bihamdihi Subhanallahil Adzim - Maha Suci Allah dengan segala puji bagi-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.”

Banyak sekali orang bertasbih tanpa apa-apa perasaan di hati. Apa yang di targetkan hanya kuantiti bukan kualiti.

"Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah..."

Banyakkkkk.... Lajuuuuuu.... average speed 160 k/m
Tapi,
tidak ada apa-apa yang terkesan di hati, hanya lintasan di bibir.

Sebaiknya, cubalah fahami dan memuji dengan penuh ikhlas. Hadirkan perasaan seperti mana yang kita lafazkan. Letakkan pujian sempurna pada Pencipta pujian dan pemuji.

Allah SWT berfirman:


 “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”
(Surah al-Isra': ayat 44)

Semua makhluk ciptaan Allah bertasbih kepada-Nya, bukan sahaja manusia. Bagaimana pula kita manusia yang sebaik-baik ciptaan (rujuk surah at-Tin, ayat 4) tidak bertasbih. Tapi point kali ini bukan bertasbih atau tidak, tetapi bagaimana penghayatan kita ketika bertasbih?

Oleh itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan kembali apa yang kurang. Malulah kita kepada Allah SWT, jika kita boleh memuji hambanya yang lain dengan hebat, sedangkan dengan Allah kita hanya sambil lewa. Sepatutnya Dia lah yang lebih berhak menerima pujian yang jauh lebih tinggi mengatasi hamba-hambanya.

Pujilah dari hati dan ikhlaskan dalam memuji Tuhanmu.

Maha Suci Allah, Dialah yang Maha Mengetahui.

Picture source: www.sozlukanlaminedir.com

Monday, 6 April 2015

Bila diuji, aku ini bayi ke orang dewasa eh?


Alhamduillah, sudah lama aku tidak menulis di blog ini (ayat nampak sangat pemalas), terasa rindu pula dan ingin berkongsi sesuatu. Walaupun tidak la begitu gempak dan mungkin nampak cliché kata orang, tetapi cukuplah sekadar berkongsi sesuatu yang diharapkan bermanfaat.

Cuti 4 bulan yang aku dan sebahagian sahabat-sahabat lain lalui sekarang ini (April 2015) memang cukup panjang, masing-masing ada kisah dan cerita yang tersendiri. Tidak adil untuk aku membanding-bandingkan sesama kami. Ya, ada yang semasa cutinya padat dengan aktivti bersama keluarga dan mungkin ada juga yang sibuk melancong ke sana ke sini melihat tempat-tempat yang dihajati yang tidak terlawat sebelum ini. Ada juga yang sibuk dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan sehinggakan tidak dapat kemana-mana. Apa pun semuanya ada hikmah dan penjelasannya, mestinya segala yang ditentukan oleh Allah itu baik belaka, siapalah kita untuk membanding-bandingkan perkara yang kita tidak tahu.

Bertepatan dengan itu aku mula terfikir, setiap kita tidak akan dapat lari dari ujian Allah. Walaupun berbeza-beza jenis ujian diantara kita, tetapi ia tetap ujian. Ada orang susah untuk mandi di pagi hari (ada ke? Contoh…) tetapi ia tetap ujian baginya. Kadang-kadang apa yang dirsakan besar di mata kita, tetapi kecil mata orang lain. Kadang-kadang apa yang dirsakan kecil di mata kita, tetapi besar mata orang lain. Ujian itu berbeza antara setiap makhluk dan Allah mengujinya berdasarkan kemampuan kita.

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya...
(Al-Baqarah : 286)


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian)?
(Al-Ankabut : 2)

Tidak dapat tidak, kita tetap perlu menumpuh setiap ujian yang mendatang, jadilah seperti orang mukmin apabila diberi ujian dia mengingati Allah dan apabila diberi nikmat pun juga dia mengingati Allah.

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkara adalah baik baginya. Dan tidaklah didapati seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin. Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menerpanya maka dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya.”
(Hadith riwayat Muslim)

Terdapat satu analogi yang aku cuba bawakan berkenaan bagaimana attitude (sikap) kita apabila diuji Allah. Aku cuba gambarkan suasana di klinik kesihatan atau hospital. Disini ada 3 elemen iaitu pesakit, jarum dan doktor. Aku juga akan bawakan 3 peringkat umur yang berbeza. Cuba bayangkan.

sumber gambar: imgkid.com
  1. Bayi:
    Bayi ini sakit dan doktor perlu menyuntiknya dengan jarum yang mengandungi ubat. Setelah disuntik, lalu bayi ini menagis.
     
  2. Kanak-kanak (jangkakan 4 tahun):
    Kanak-kanak ini sakit dan doktor perlu menyuntiknya dengan jarum yang mengandungi ubat. Setelah disuntik, lalu kanak-kanak ini menagis dan memarahi doktor tersebut.
    “Waaa…..doktor jahat….dia cucuk adik!!!!”
     
  3. Lelaki dewasa:
    Lelaki dewasa ini sakit dan doktor perlu menyuntiknya dengan jarum yang mengandungi ubat. Setelah disuntik, lalu lelaki dewasa ini tersenyum dan mengucapkan terima kasih kepada doktor tersebut.
    “Terima kasih banyak doktor.”

Dari ketiga-tiga peringkat umur ini ia sebenarnya kita boleh kaitkan bagaimana kita menghadapi ujian. Cuba lihat satu persatu. Ingat ini cuma analogi.
  • Pesakit adalah kita.
  • Jarum adalah ujian.
  • Doktor sebagai pemberi ujian (dalam konteks realiti ialah Allah).

1.       Jika bayi, dia sebenarnya menagis kerana sakit akibat suntikan kerana dia mungkin terfikir yang memberi kesakitan itu adalah jarum. Ini bermakna dalam alam reliti, apabila perit menimpa ujian, kita telah menyalahkan ujian apabila berhadapan dengan ujian itu sendiri.
“Aduhhh…kenapa la malang nasib aku, time ini la kereta nak rosak…cari la masa sesuai sikit kereta ini pun.”

2.       Jika kanak-kanak, dia menagis kerana sakit akibat suntikan dan sedikit bijak dari bayi dia tahu doktor yang menyuntik itu menyebabkan kesakitan dan menyalahkannya. Jika dalam kehidupan reliti, apabila pedih ketika menimpa ujian, kita akan menyalahkan pemberi ujian, yakni Allah.
“Hmmm… ya Allah, kenapa aku yang dipilih-Mu untuk di uji? Aku ada meeting dengan Dato’… bla bla bla… Ini tak adil ya Allah, aku bukan hamba yang jahat pun.”

3.       Jika lelaki dewasa pula, dia tidak menagis dan tahu yang sakit suntikan itu itu hanya sekejap tetapi kebaikan yang menanti jauh lebih besar, lalu dia berterima kasih kepada doktor yang menyuntik. Jika dalam alam reliti, apabila sakit berhadapan ujian, kita perlu bersabar dan bersyukur yang Allah telah memberi ujian, anggaplah ujian itu sebagai teguran dari-Nya.
“Allahdulillah ya Allah, walaupun kereta ku rosak tetapi ia rosak dirumah, tidaklah memenatkanku. Jika ditengah jalan, tak tahulah apa nak dibuat. Syukur ya Allah”.

sumber gambar: listen-hard.com

Begitulah 3 jenis attitude biasa manusia yang aku ingin cuba bawakan, ini sekadar analogi bagi melihat atau muhasabah kembali siapakah kita dikala diuji Allah. Aku tinggalkan anda semua dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

“Sabar yang sebenarnya ialah sabar pada saat bermula (pertama kali) ditimpa musibah.”

Sekian, wassalam.


Wednesday, 28 January 2015

Ubat Hati

Terdetik apabila mendengar satu lagu Opick bertajuk Ubat Hati.

Yang memetikkan satu dari kata seorang ulama, Ibrahim Al- Khawas R.A:

"Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut.
1) Baca Quran & hayati(taddabur) maknanya
2) Bangun beribadat di waktu malam
3) Berkumpul dengan orang-orang yang soleh
4) Kosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa
5) Perbanyakkan zikir di malam hari"

Tekankan point yang "3) Berkumpul dengan orang-orang yang soleh". 

Di dalam konteks kita terutamanya mahasiswa, ada golongan-golongan yang ingin menjadi baik, dan ada golongan-golongan yang belum bersedia untuk menjadi baik.

Jadi, untuk memperkukuhkan jati diri, kita tidak boleh berseorangan, kita perlukan kumpulan ataupun sahabat ataupun orang yang mampu membimbing kita ke arah yang baik.
"Hidayah itu pemilik Allah"

Wednesday, 31 December 2014

Lobak, Telur & Milo

Bismillah.
Tazkirah ini diambil dari seorang akh ketika liqa mathurat petang saya dan sahabat-sahabat yang lain pada 31/12/2014.
Akh ini share sebuah kisah yang 'simple', tapi bermakna.
..............

Kisah bermula dengan ada seorang kanak-kanak ini, dia merajuk kerana ada satu masalah yang menimpanya. Ayahnya yang melihat keadaaan anaknya itu pun cuba untuk memujuk. Tetapi sifat kanak-kanak yang biasa kita kenal, mesti akan melawan (biasanya untuk mendapat perhatian). Lalu si ayah pun terfikir satu cara dengan memberi analogi berkaitan "Lobak, telur dan milo"

Si ayah pun mula menceritakan kepada anaknya.

"Lobak jika direndam ke dalam air panas, ia akan menjadi lembik.
Telur pula jika direndam ke dalam air panas akan menjadi keras.
Milo pula jika direndam ke dalam air panas akan menjadi cair, dan sedap di minum.
emmmm..." sambil tangan si ayah mengusap-usap lehernya.

Si anak pun menjadi pelik "Habis itu, apa kaitan cerita ini dengan saya?"

Ayahnya tersenyum, jelas kelihatan anaknya seperti ingin tahu.

"Lobak jika direndam ke dalam air panas, ia akan menjadi lembik. Adakah kita bila ditimpa masalah atau musibah perlu menjadi "lembik"? walhal kita mesti menjadi lebih kuat.

Telur pula jika direndam ke dalam air panas akan menjadi keras. Kita apabila ditimpa masalah atau musibah jangan terlalu berkeras, sehingga nasihat dan pandangan orang lain tidak diterima malah memberontak dek kerana anguh dan keras kepala.

Milo pula jika direndam ke dalam air panas akan menjadi cair, dan memberi 'benefit' kepada yang lain pula. Kita perlu larut dengan setiap masalah yang dihadapi, jangan terlalu mengikut perasaan. Malah kita cuba berikan yang terbaik dalam menyelesaikannya dan memberi manfaat juga kepada yang lain.

Anak ini pun mula faham, lalu kembali ceria. Si ayah pun berasa lega.
Mereka terus membuat air panas, dan membancuh milo bersama-sama.


p/s: Akh ini bukan mempromote Milo atau mana-mana produk makanan, sekadar analogi.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Teringat saya bagaimana diawal perjalanan dakwah baginda Rasulullah SAW, baginda menepuh pelbagai mehnah dan halangan dalam menegakkan kalimah Allah. Tetapi baginda tabah dan sabar dalam menempuh setiap ujian demi ujian bahkan baginda tetap terus menyampaikan Islam yang merupakan Islam itu sebagai penyelamat dalam kehidupan.



Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermusyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

(Surah ali-Imran : ayat 159)